Kali ini, IRAMA ingin timbulkan persoalan dalam diri anda yang sedang membaca penulisan ini.
Apa genre muzik kesukaan anda? Lagu negara mana yang kerap jadi senarai main (playlist) di Youtube, Spotify atau kaca televisyen anda?
IRAMA tidaklah berada di tempat sebaris pengkritik seni profesional yang yakin menghentam peserta uji bakat nyanyian dengan hujah dan komen jujur yang tajam menusuk. Bukan juga pakar berpengalaman dalam industri seni tanah air.
Namun, IRAMA tetap ingin menjentik hati pembaca dengan dua persoalan di atas. Jawapan kepada soalan tersebut, anda boleh beri jawapan kepada diri sendiri.
Proses menerbitkan majalah IRAMA mematangkan cara fikir penulis. Usaha mendapatkan kerjasama artis seni daripada generasi lama ke generasi baru banyak dimudahkan. IRAMA mula menyedari akan hakikat usaha penggiat seni ini demi memartabatkan seni muzik tradisional tempatan seperti tak pernah berhenti.
Saban hari, video muzik di Youtube menampilkan artis-artis baru yang menyanyikan lagu bermelodi rancak seperti rap, R&B dan hip hop. Begitu juga dengan tarian. Peminat tarian moden giat menggubah rentak tari untuk menampakkan tarian yang baru keluar lain daripada yang sebelumnya. IRAMA memuji usaha mereka kerana bersemangat menampilkan imej lagu dan tarian yang baru kepada pendengar.
Namun sebagai pendengar, anda berhak menentukan muzik genre apa-apa yang akan menjadi minat anda.
Ketahuilah, anda merupakan elemen yang paling berkuasa dalam seni muzik. Segigih apapun usaha menghasilkan genre yang lain dari yang biasa, tanpa pendengar, sia-sia sahaja usaha tersebut. Seyakin manapun komposer muzik menggubah lagu menjadi genre yang tak pernah ada dalam sejarah seni muzik, tanpa pendengar, sifarlah usaha yang telah dilakukan itu.
Begitulah juga irama seni muzik tradisional tempatan. Penggiat seni muzik tempatan cukup berbakat dalam menghasilkan melodi dan alunan tradisional. Namun, pernahkah anda tertanya-tanya? Kepada siapa sebenarnya mereka menggubah lagu, mencipta rentak dan melantunkan vokal merdu itu di pentas persembahan, kaca televisyen atau di corong-corong radio tempatan?
Tidak lain tidak bukan, semuanya adalah untuk anda.
Justeru, IRAMA turut berharap agar pembaca tidak berasa kekok apabila mendengar irama muzik tradisional berputar di radio, seolah-olah ia adalah genre dan melodi yang asing bagi kita.
Sebaliknya, hargailah muzik-muzik tradisional ini. Usaha yang paling kecil boleh dilakukan adalah dengan ambil tahu nama seni tarian atau tokoh muzik yang ada di negara ini. IRAMA juga tidak terkecuali dalam melakukan usaha ini demi memastikan seni muzik tradisional tempatan tetap segar di negara sendiri meskipun masa makin pantas berlalu.
Akhir sekali, marilah dengarkan sebuah lagu iaitu 'Kurik Kundi' daripada Dato' Sri Siti Nurhaliza. Lagu tersebut amat menarik kerana ia telah memasukkan hampir semua dialek Melayu di samping mengangkat muzik irama Malaysia.
Lagu 'Kurik Kundi' daripada Dato' Sri Siti Nurhaliza. (Video: Youtube SuriaRecordsSRC)
Comments