Keunikan etnik Chetti yang jarang diketahui ramai
- Irama Malaysia
- Jan 18, 2021
- 2 min read

Masyarakat Chetti Melaka. (Gambar: Facebook Chetti Melaka)
Sejarah kewujudan Chetti atau lebih dikenali sebagai masyarakat Chetti adalah hasil perkahwinan campur antara pedagang India dan juga penduduk tempatan. Menurut Berita Kampus Universiti Sains Malaysia, di Malaysia hanya tinggal satu sahaja kampung Chetti yang masih wujud di Gajah Berang, Melaka.
Gajah Berang merupakan satu-satunya kawasan komuniti Peranakan India yang bertapak di Malaysia sejak zaman pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka di Tanah Melayu serta telah diwartakan sebagai Kampung Warisan di bawah Kerajaan negeri Melaka.
Chetti memiliki keunikan dan keistimewaan yang tersendiri dalam penghasilan kraftangan seperti etnik lain di Malaysia. Antara keunikannya ialah wujud asimilasi budaya kaum Melayu dalam kalangan masyarakat Chetti. Sebagai contoh, kraftangan topi mempunyai bentuk yang tidak jauh beza dengan bentuk songkok.
Namun, perbezaan antara kedua-duanya adalah topi diperbuat dari kain sarung atau batik yang terpilih dan ia memiliki satu bahagian kecil berbentuk segi tiga dihadapan. Topi sering digunakan pada majlis-majlis tertentu seperti majlis perkahwinan dan ia akan dipakai oleh pengantin lelaki.
Sudut perkahwinan memperlihatkan terdapatnya adat “masuk India” di mana seorang lelaki yang bukan berasal daripada komuniti Chetti akan diterima sebagai Chetti apabila ia telah mengahwini perempuan komuniti berkenaan. Hal ini juga bagi perempuan etnik lain yang ingin berkahwin dengan lelaki Chetti mestilah memilih nama Hindu mereka terlebih dahulu sebelum melaksanakan perkahwinan. Namun, selepas perkahwinan mereka akan Menggunakan nama Hindu mereka.
Terdapat banyak keunikan yang dimiliki oleh kaum Chetti. Kaum Chetti memiliki khazanah yang sangat berharga dan jarang diketahui oleh orang ramai. Sekiranya khazanah dan keunikan ini tidak dipelihara, maka ia akan terus pupus ditelan zaman.
Asimilasi tersebut juga boleh dilihat melalui muzik yang dimainkan seperti ala-ala irama tradisional Melayu, namun mereka masih mengekalkan bahasa mereka sendiri. Antara tarian warisan mereka termasuklah Joget, Joget Sapu Tangan, Tarian Payung, Tarian Ponggal dan Tarian Kolatham.
Tarian Chetti. (Video: Youtube Cawangan RnD JKKN)
Sumber:
1) Berita Kampus Universiti Sains Malaysia. Boleh diakses di: http://www.beritakampus.usm.my/index.php/arkib?catid=0&id=1919&limit=5&view=archive&start=290
2) Ummadevi Suppiah & Sivachandralingam Sandra Raja. Boleh diakses di: https://ejournal.ukm.my/jebat/article/view/42025/10867
3) JKKN Pemetaan Budaya- Boleh diakses di https://pemetaanbudaya.my/culture/dis/186
Comments