Gambar: JKKN Pemetaan Budaya
Tarian piring adalah antara tarian yang tak asing lagi sebagai salah satu tarian tradisional di Malaysia. Daripada nama tarian ini sahaja, anda pasti dapat bayangkan tarian ini semestinya disertai dengan alatan iaitu piring.
Ya, anda benar. Tetapi kali ini, mari bersama-sama IRAMA untuk menelusuri maksud tersirat dan tersurat dalam Tarian Piring ini.
Tarian Piring adalah antara tarian yang tersohor di negeri selatan Malaysia iaitu Negeri Sembilan. Dikatakan bahawa tarian ini sering dipersembahkan di majlis perkahwinan dan acara keramaian. Mengikut adat asal Tarian Piring, penari lelaki bercampur dengan penari wanita. Setelah datangnya Islam di Tanah Melayu, tarian ini mula berevolusi iaitu penari-penari mula diasingkan mengikut jantina. Bukan itu sahaja, Tarian Piring asalnya dipersembahkan sebagai tanda penghargaan kepada dewa yang menyuburkan padi dan tanam-tanaman penduduk kampung. Namun kini, tarian ini dimainkan sebagai hiburan kepada para penonton dan peminat.
Seterusnya, mari sama-sama kita lihat rentak tarian ini. Penari-penari perlu memegang dua piring di kedua-dua belah telapak tangan mereka. Seterusnya, penari akan menari sepenuh hati, seolah-olah berada dalam dunia lenggok tarian yang dimainkan. Selepas itu, penari akan mencampakkan dua piring yang ada di tangannya ke udara atau terus menghempasnya ke lantai.
Tibalah kemuncak aksi yang mendebarkan penonton iaitu apabila penari Tarian Piring mula memijak kaca-kaca yang telah dipecahkan tadi. Antara posisi yang dilakukan penari adalah dengan berdiri di atasnya atau melutut dengan turut menurunkan kedua-dua belah tangan supaya menyentuh rapat kaca-kaca itu.
Usai tarian, penari selamat daripada luka. Walhal, mereka telah memijak kaca-kaca tajam daripada piring itu. Hebat, bukan?
Sudah pastinya, persembahan tarian piring ini memerlukan latihan yang konsisten dan kerap. Kegagalan demi kegagalan sudah tentu berlaku. Namun, penari-penari tarian ini cukup gigih berlatih demi mempersembahkan lenggok tari yang terbaik kepada penonton dan peminat seni tarian tradisional tempatan.
Persembahan tarian piring. (Video: Youtube Cawangan RnD JKKN)
Sumber:
1) JKKN Pemetaan Budaya https://pemetaanbudaya.my/state/category/culture/236
Comments