Menurut Profesor Kesusasteraan Bandingan, Profesor Dato’ Seri Dr. Md. Salleh Yaapar, serangkap pantun perlu mempunyai pembayang dan pemaksud di mana pembayang melakukan pembayangan melalui unsur alam dan pemaksud ialah mesej yang ingin disampaikan menggunakan perihal manusia. Sebuah pantun kedengaran lebih indah sekiranya pembayang dan pemaksud bertaut.
Pantun berasal dari komuniti Melayu tradisional yang hidup bersatu-padu serta mempunyai budaya dan pemahaman konteks yang sama.
“Hal ini disebabkan sesuatu pantun itu hanya mampu difahami oleh orang yang memahami konteks masyarakat, ataupun kehidupan mereka. Istimewanya pantun berbanding puisi Melayu lain adalah pantun merupakan puisi asli ciptaan kaum Melayu tanpa sebarang unsur dari budaya lain”, jelas Salleh.
Pantun juga mencetus genre puisi baru Eropah: pantoum di Perancis dan tersebar ke seluruh Eropah dan Amerika Syarikat. Menurut Salleh dalam Debat Kesusasteraan Dunia, pantun dibawa ke Eropah pada kurun ke-19, di mana seorang sarjana linguistik, William Marsden, memasukkan empat rangkap pantun yang berkait dalam bukunya, A Grammar of the Malayan Language with an Introduction and Praxis dan menterjemahkan pantun tersebut dalam Bahasa Inggeris.
Pantun tersebut menarik minat penyair besar Perancis dan lahirnya kategori puisi baharu di Eropah iaitu pantoum. Salah seorang penyair terkenal Perancis yang mengamalkan pantoum adalah Charles Baudelaire dengan pantoum terkenalnya, Harmonie du Soir dalam koleksi karya puisinya, Las Flores del Mal.
Ketua jurulatih pantun Desasiswa Restu, Universiti Sains Malaysia (USM), Muhammad Shamsuri Hashim, berkata pantun dan rap keduanya mempunyai keunikan tersendiri dan gaya penyampaiannya yang berbeza.
Menurut Shamsuri, antara perbezaan pantun dan rap adalah pantun mempunyai empat baris ayat dalam satu rangkap yang mana pembayang pada baris pertama dan kedua serta pemaksud pada baris ketiga dan keempat. Berbeza dengan rap yang hanya perlu menulis teks dengan jelas tanpa wujudnya sebarang pembayang.
“Saya turut merasakan, mencipta sebuah pantun adalah lebih sukar daripada mencipta sebuah lagu rap kerana pantun memerlukan idea yang kreatif dan penghayatan yang mendalam kepada penulis, manakala rap hanya memerlukan pengetahuan luas dalam isu semasa, dan bijak menyesuaikan keadaan”, jelas Shamsuri.
“Lagu rap kebanyakannya hanya diminati atau lebih sesuai kepada golongan muda, berbeza dengan pantun yang mana sesuai kepada setiap lapisan masyarakat tidak kira tua, muda ataupun kanak-kanak”, tambahnya lagi.
Jennifer Tiong Yea Jen, alumni USM 2020 dan pemantun terbaik pusingan akhir Temasya Pantun Islam (TEPANA) berkata, berpantun membantu dirinya dengan menambahkan kosa kata bahasa Malaysia dan lebih peka terhadap isu semasa untuk dijadikan bahan membuat soalan berpantun. Katanya lagi, berpantun membantu meningkatkan kemahiran 4C; Komunikasi, Kolaborasi, berfikiran kritis dan kreatif ( Communication, Colaboration, Critical Thinking,Creative)
Menurutnya lagi, dia hanya mula belajar Bahasa Malaysia di sekolah rendah kerana keluarganya hanya bertutur dalam bahasa Inggeris dan Mandarin di rumah. Namun, kekurangan tersebut tidak menghalang dirinya untuk belajar berpantun.
“Berpantun membantu saya memahami dan menghayati keindahan budaya melayu dan agama Islam. Saya belajar banyak nilai dan budaya yang berbeza daripada budaya saya sendiri. Ilmu yang saya dapat ini akan saya praktikkan dalam kehidupan seharian”, tambah Jennifer.
Gambar: Facebook Temasya Pantun Islami
Comentarios