top of page
Search

Pengalaman Yusmawati dalam industri radio


Yusmawati Yunus mengendalikan program ADILA di stesen Klasik.FM (Gambar: Yusmawati Yunus)


Industri radio merupakan industri yang sudah sebati dalam masyarakat kita. Walaupun teknologi informasi sudah berkembang pesat dan beralih ke arah digital, namun, industri radio masih lagi subur dengan inovasi platform penyiaran dan berkembang ke seluruh dunia dengan kewujudan Internet.


Pihak IRAMA berkesempatan untuk menemuramah penyampai radio yang tidak asing lagi bagi pendengar setia Klasik.FM dan Selangor FM, Yusmawati Yunos.


Minat Yusmawati Yunos untuk menjadi juruhebah atau penyampai radio mula berputik ketika zaman sekolah menengah lagi. Setiap hari, beliau akan mendengar radio untuk mengisi masa lapangnya. Malah, boleh dianggarkan bahawa setiap hari, beliau akan duduk berjam-jam di sisi radio untuk mendengar celoteh juruhebah kegemarannya bertugas.


“Sejak zaman sekolah lagi, saya sangat suka mendengar radio sehingga ia menjadi hobi harian saya. Celoteh penyampai yang menarik telah menyebabkan keinginan untuk menjadi juruhebah mula berputik dalam diri saya. Dari saat itu, saya mula menanamkan azam untuk menjadi seperti mereka.”, kata Yusmawati.


Perjalanan Yusmawati bermula sebaik sahaja beliau tamat peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada tahun 1994, dan meneruskan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam dalam bidang penyiaran.


“Berbekalkan bakat dan kelulusan akademik dalam bidang penyiaran, saya menjalani sesi ujibakat sebagai penyampai radio yang diadakan oleh Radio Televisyen Malaysia pada 2002. Alhamdulillah pada tahun 2003 hasrat untuk menjadi Penyampai Radio tercapai.”, ujar Yusmawati.


Menurut Yusmawati, pengalamannya dalam penerbitan radio banyak mengajar ilmu dan kemahiran baharu, ia juga memberi ruang kepada muzik lama di Malaysia untuk terus kekal dan tidak tenggelam zaman.


“Setiap program yang pernah saya kendalikan memerlukan saya untuk meneroka sejarah dan latar belakang dalam industri muzik, bukan sahaja muzik tradisional,malah muzik yang suatu ketika dahulunya popular dalam masyarakat kita,” kata Yusmawati.


“Contohnya program Purbawara. Program ini bukan sahaja mengetengahkan sejarah dan cerita klasik orang Melayu, ia juga menonjolkan aspek pemodenan teater bangsawan yang dahulunya dilakonkan secara pementasan secara langsung, kini, dapat dimainkan di corong radio. Program Purbawara juga mengetengahkan muzik klasik serta adat dan budaya masyarakat melayu dahulu yang kini ditelan arus permodenan.”, tambah Yusmawati lagi.


Selain itu, pengalamannya sebagai penyampai radio memberikan beliau ruang untuk berinteraksi dengan masyarakat lain, sama ada tugas tersebut dilakukan di dalam konti, mahupun ketika menjalankan program luar.


“Pekerjaan dalam industri penyampaian radio bukan hanya sekadar kami duduk di konti stesen radio dan memutarkan lagu untuk pendengar, tetapi kami juga mempunyai tanggungjawab untuk menarik minat masyarakat untuk tidak meninggalkan budaya dan seni irama yang kini semakin ditelan arus permodenan.,” kata Yusmawati.



5 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page